Perkembangan kerjaya anda adalah proses jangka masa yang sangat panjang, dan sama ada anda percaya atau tidak, sebenarnya ia sudah bermula sejak anda lahir lagi!. Ini kerana terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perkembangan kerjaya anda seperti :
- Minat
- Kebolehan
- Nilai
- Personaliti
- Latar belakang
Kaunseling Kerjaya adalah proses yang menolong anda untuk mengetahui dan memahami diri anda dan dunia pekerjaan untuk menghasilkan :
a. Kerjaya
b. Pendidikan
c. Membuat sesuatu keputusan dalam kehidupan.
Matlamat Kaunseling Kerjaya bukan sahaja membantu anda untuk membuat keputusan masa kini, tapi untuk memberikan anda pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk membuat keputusan kehidupan dan kerjaya pada masa akan datang.
Menurut Brown dan Brooks (1991) mendefinisikan kaunseling kerjaya sebagai satu proses bimbingan dan tunjuk ajar kepada klien untuk :
- Memilih pekerjaan yang sesuai
- Menyesuaikan diri dengan kerjaya yang dipilih
- Maju dalam kerjaya berkenaan.
Ini bermakna, kaunselor perlu mewujudkan hubungan rapo untuk melihat ciri-ciri peribadi klien bagi membolehkan klien melibatkan diri dalam sesi dan seterusnya dapat membantu dirinya memilih bidang yang sesuai.
Apa yang boleh Saya harapkan?
Kaunselor Kerjaya anda AKAN :
- Bantu anda melihat gambaran siapa anda dan apa anda mahukan untuk pendidikan, kerjaya dan kehidupan anda.
- Menjadi seseorang yang mendengar pandangan, perasaan, pemikiran anda, prihatin tentang pilihan pendidikan dan kerjaya anda, dan menjadi sesorang yang membantu untuk menjadikan apa yang anda fikirkan itu realiti.
- Membantu anda mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi perkembangan kerjaya anda dan membantu anda mentaksir minat, kebolehan dan nilai anda.
- Membantu anda mencari sumber-sumber rujukan tentang maklumat kerjaya
- Membantu anda mengenalpasti langkah seterusnya dan membuat perancangan untuk menggapai impian anda.
Kaunselor Kerjaya anda TIDAK AKAN :
- Memberitahu apa yang anda patut buat
- Memberitahu bidang mana yang sesuai dengan anda
- Memberitahu kerjaya mana anda patut pilih
Siapa yang memerlukan Kaunseling Kerjaya?
Memandangkan perkembangan kerjaya adalah proses sepanjang hidup, maka Kaunseling Kerjaya adalah sesuai untuk semua orang termasuk :
i. Pelajar sekolah menengah
ii. Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi
iii. Pelajar yang baru tamat belajar
iv. Individu yang sedang mencari pekerjaan yang sesuai dengan minatnya.
Semakin awal anda memikirkan tentang kerjaya anda, semakin mudah untuk anda menggapainya!~
Di bawah ini terdapat beberapa contoh mengapa Kaunseling Kerjaya diperlukan :
1. Meneroka kerjaya dan pilihan utama :
- "Saya tiada idea apa yang saya mahu lakukan dalam hidup"
- "Saya tidak tahu mahu ceburi bidang apa"
- "Saya ada memikirkan tentang dua bidang, tapi saya tidak tahu yang mana satu harus saya pilih"
- "Saya mahu tahu kerjaya apa yang sesuai dengan bidang saya ini"
- "Saya tahu bidang apa saya mahu, tapi saya tidak tahu apa nak buat selepas tamat belajar"
2. Menyelesaikan konflik
- "Saya suka banyak subjek, dan saya kerap tukar bidang kerana saya tidak tahu apa yang saya mahu
sebenarnya"
- "Saya tidak suka belajar dan saya tidak rasa ada bidang sesuai dengan saya"
- "Saya sangat suka bidang saya, tapi itu bukan apa yang saya mahukan untuk kerjaya nanti"
- "Keluarga saya mahukan saya dalam bidang ____, tapi saya tidak rasa pun bidang itu untuk saya"
- "Saya rasa saya nak jadi ____, tapi saya tidak pasti adakah kerana kerjaya itu sahaja yang saya tahu"
Siapa Kaunselor Kerjaya anda?
Kaunselor Kerjaya anda adalah seorang yang mempunyai kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan / Ijazah Sarjana Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling yang mana mereka sudah menguasai :
i. Teori perkembangan kerjaya
ii. Teknik/ kemahiran asas kaunseling
iii. Pengukuran dan pengujian dalam kaunseling
iv. Mempunyai sumber-sumber rujukan mengenai kerjaya
Jadi, apa lagi : mungkin anda tidak dapat berjumpa dengan kami face-to-face, TAPI anda boleh sertai kami di "Diskusi Kerjaya". Jadi, ayuh!~
No comments:
Post a Comment